Bajet 2018 senjata ampuh BN menangi PRU14 – Rafizi

Berita Nasional

Dalam mendesak kerajaan menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta menggelar pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) umpama ‘dedak’ secara tiba-tiba Ahli Parlimen PKR Pandan Rafizi Ramli bertukar nada dan watak ketika membahaskan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Naib Presiden PKR itu, laluan Pakatan Harapan (PH) untuk merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 akan bertambah perit jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menambahbaik Bajet 2018 yang dibentangkannya pada Oktober lalu.

“Sebenarnya cukup mudah YB Pekan untuk meredakan kemarahan rakyat dan menarik banyak sokongan rakyat kepada BN, dan ia boleh dilakukan dalam jangka masa pendek,” katanya.

Rafizi bukan sahaja mencadangkan kadar GST dikenakan 4 peratus, malah lebih memeranjatkan Rafizi telah mencadangkan pemberian BR1M dinaikkan menjadi RM2000 setahun.

“Kita bagi bonus dua bulan kepada semua kakitangan kerajaan, menaikkan BR1M kepada RM1,500 kalau tak pun RM2,000 setahun dan mengambil kira kesusahan rakyat terhadap GST boleh diturunkan kepada empat peratus.

“Kalau ketiga-tiga ini YB Pekan dapat dilakukan, saya rasa payah PH nak menang dalam pilihanraya akan datang,” katanya.

Menyifatkan Bajet 2018 sebagai bajet yang paling menggerunkan pembangkang, Rafizi juga mengakui bajet yang dikatakan ibu segala bajet itu berpotensi menjadi senjata ampuh BN dalam mencapai kemenangan pada PRU ke-14 nanti.

“Bajet 2018 ini juga berpotensi menjadi ibu segala senjata kepada BN untuk memenangi PRU ke-14 akan datang,” jelas bekas Setiausaha Agung PKR itu.