Azmin Kempen Politik Guna Wang Rakyat – Noh Omar

Berita Nasional Selangor

UMNO Selangor meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil tindakan serta menghentikan pengedaran akhbar rasmi kerajaan negeri di masjid, susulan dilihat banyak melaporkan berita politik membabitkan Pakatan Harapan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Noh Omar berkata akhbar dikenali ‘Selangorkini’ itu diterbitkan menggunakan duit rakyat dan sepatutnya melaporkan lebih banyak berita mengenai pembangunan di Selangor.

“Kalau berterusan diedarkan di masjid seolah-olah JAIS abai titah Sultan Selangor sebab ini jelas menunjukkan akhbar itu menjadi akhbar politik.

“Ketika zaman Tan Sri Khalid Ibrahim jadi Menteri Besar Selangor, saya lihat akhbar itu tidak cerita politik sangat tetapi lebih kepada program menteri besar dan kerajaan negeri. Akhbar ini perlu kembali semula kepada tujuan asal,” katanya di Tanjong Karang hari ini.

Pada masa sama, Noh mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyalahgunakan ‘Selangorkini’ untuk berkempen politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita tidak halang penerbitan akhbar ini kerana kita amalkan kebebasan akhbar tetapi kena ingat jangan guna duit rakyat untuk kempen politik,” katanya.