Azmin Jadi Hamba Kepada Parti Politik Hinggaka Takut Pertahankan Sultan – Mat Taib

Berita Nasional Selangor

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menemplak tindakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak mempertahankan Sultan Selangor, malah dilihat menghambakan diri lebih kepada parti politik.

Ia berikutan tindakan Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah dua kali membangkitkan isu Bugis dalam tempoh sebulan bagi menyatakan kemarahannya terhadap Tun Mahathir Mohamad.

“Saya tak faham dengan sikap MB selangor sebab ada dua insiden yang agak jelas, tapi MB Selangor macam tak ada pendirian.

“Sepatutnya MB kena ke depan pertahankan raja. Itu sikap hulubalang. Bila dia diamkan diri, orang berfikir kenapa dia diamkan diri? Dia tak tunjukkan dia ni pahlawan. Dia tak jaga adat istiadat kita,” tegas Muhammad dipetik media.

Sultan Sharafuddin pada November menegur bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir yang mempersendakan bangsa Bugis ketika menyampaikan ceramah politik pada Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi, Oktober lalu.

Sebulan kemudian, menjelang sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Sharafuddin Yang Ke- 72, baginda sekali lagi menegur Dr Mahathir akan isu yang sama.

Malah baginda bertitah, Dr Mahathir dalam keadaan marah dan akan membakar seluruh negara dengan api kemarahannya.

Baginda juga bimbang pihak tertentu kerap menggunakan isu-isu sensitif untuk agenda politik sempit mereka, yang kemudiannya akan mengancam ketenteraman serta keharmonian yang dikecap negara kini.

Teguran kali kedua itu menyaksikan Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bertindak memulangkan semuladua Darjah Kebesaran yang masing-masing terima daripada Sultan Selangor.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan banyak pihak dengan menjelaskan yang tindakan Tun Mahathir itu dianggap sebagai biadap kerana protes dengan titah baginda.

Malah tindakan Tun Mahathir memulangkan Darjah Kebesaran itu dilihat banyak pihak sebagai satu penghinaan kepada institusi kesultanan.

Muhammad juga berkata, bukan hanya rakyat malah Sultan Sharafuddin sendiri sedang memerhati usaha Azmin menjaga kemuliaan intstitusi kesultanan Selangor.

“Susah sebagai MB yang tiada pendirian, tidak mempertahankan raja di Selangor.

“Bila MB tunjukkan sikap yang tidak menentu, kemungkinan baginda tuanku ada fikiran sendiri. Wallahua’lam, kita pun tak tahu apa ada dalam pemikiran tuanku,” ujarnya lagi.

Azmin dilantik menjadi Menteri Besar Selangor pada 2014 selepas bekas penyandangnya Tan Sri Khalid Ibrahim digulingkan partinya iaitu PKR sendiri, kononnya kerap membelakangkan parti.