Anak Muda Selangor Perlu Tuntut MB Selangor Bina Rumah Kos Rendah

Berita Nasional Selangor

Anak muda di Selangor khususnya perlu bertegas mendesak pembinaan rumah mampu milik untuk mereka.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo kini tiada lagi pembinaan rumah kos rendah bagi membantu golongan itu memiliki rumah kerana program rumah Selangorku yang diwujudkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali jauh lebih tinggi harganya iaitu RM200 ribu dan keatas.

Kata Ismail, ia jauh berbeza dengan apa yang dilakukan UMNO/BN dahulu di Selangor dengan menghapuskan rumah setinggan dan mewujudkan rumah dengan nilai serendah RM35 ribu.

“Sewaktu zaman UMNO/BN perintah Selangor, pembinaan rumah kos rendah dapat diselesaikan sehingga tiada setinggan lagi atas usaha yang dibuat Datuk Seri Khir Toyo. Tapi bila manifesto PH akan bina rumah murah dan sederhana rumah yang dipanggil rumah mampu milik itu semuanya temberang belaka.

“Kalau BN dulu kawasan setinggan dibangunkan dalam satu program dengan harga RM32 ribu, kalau orang luar yang berpendapatan RM1500 ke bawah boleh beli rumah tersebut dengan harga RM50 ribu. Waktu itu pembangkang hanya teruskan rumah yang belum siap, tapi rumah murah yang mereka wujudkan itu tak ada.

“Azmin tubuhkan Rumah Selangorku tapi harganya beza, orang miskin hanya boleh beli RM40 ribu, tapi rumah itu dah tak ada. Pada 2008, jangan cakap rumah murah, sebatang tiang pun tak ada,” katanya kepada BNBBC.my portal.

Membuktikan perkara itu itu, Ismail mengambil contoh kawasan di Lembah Jaya Ampang yang kini mempunyai empat ekar tanah yang boleh dibina rumah kos rendah, namun perkara itu tidak dilakukan.

“Lihat ya, dalam seminggu saya akan dapat jemputan 10 tempat kenduri kahwin. Ini bermakna akan ada 10 keluarga dalam seminggu yang akan ada, sebulan dah ada 40 keluarga baru, untuk 1 penggal sepatutnya berapa rumah untuk keluarga baru yang perlu dibina? tapi tak dibuat.

“Mengapa pengantin baru yang orang-orang muda ni tak tanya? Tanya bila kerajaan Selangor nak buat rumah untuk mereka? Rumah Selangorku itu jauh beza, RM200 ribu, mereka akan tertekan dengan ketidakmampuan mereka untuk membeli rumah tersebut,” jelasnya lagi.

Berikutan itu jelas beliau, golongan muda seharusnya menuntut hak tersebut daripada Menteri Besar hari ini supaya mereka tidak rugi dengan membayar sewa mahal khususnya mereka yang tinggal di kawasan bandar.