Anak Guam Saya Tak Ambil Duit – Peguam Najib

Berita Nasional

KUALA LUMPUR: Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan bahawa anak guamnya, Datuk Seri Najib Razak tidak mendapat faedah kewangan daripada wang lebih RM6.6 bilion yang dinyatakan dalam enam tuduhan dikenakan terhadapnya hari ini.

Muhammad Shafee berkata, menurut anak guamnya, tuduhan itu tidak berasas kerana keputusan yang dibuat beliau dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah adalah bagi kebaikan negara untuk mengelakkan keadaan lebih buruk yang boleh menghancurkan ekonomi negara.

Anak guam saya tidak ambil duit… ia dilakukan demi kepentingan negara dan tiada sebarang faedah wang yang diterima oleh anak guam saya.. ia adalah untuk kepentingan awam,” katanya.

Muhammad Shafee berkata demikian ketika mengemukakan hujahan supaya wang jaminan yang dikenakan terhadap anak guamnya bagi tuduhan sebelum ini diguna pakai bagi enam tuduhan pecah amanah hari ini.

Muhammad Shafee berkata, beliau diberitahu bahawa dua tuduhan pertama membabitkan dana yang diperuntukkan bagi tujuan khusus untuk pengambilalihan tanah membabitkan dua projek.

Beliau berkata, tuduhan ketiga hingga keenam pula membabitkan dana yang mulanya diperuntukkan bagi tujuan khusus tetapi kemudian dinilai semula bagi keutamaan pembiayaan lain yang lebih mendesak bagi tujuan penyelesaian pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

“Tidak ada sebarang kepentingan peribadi dan anak guam saya tidak mendapat wang daripadanya… tiada niat tidak betul dalam kes ini.

“Kami sangat teruja selepas melihat tuduhan ini… ia tidak masuk akal dan kami bersedia untuk menghadapi kes ke atas anak guam kami.

“Apa yang perlu diputuskan hakim ialah sama ada anak guam kami berisiko untuk melarikan diri… jika tidak berisiko mengapa perlu minta (wang jaminan) lagi?” katanya.

Muhammad Shafee berkata, jika anak guamnya gagal hadir di mahkamah ia boleh menyebabkan jumlah jaminan dilucuthak.

“Barangkali jumlah jaminan RM4.5 juta (bagi tuduhan ke atas Najib sebelum ini) adalah paling tertinggi dalam sejarah Malaysia.

“Perkara dalam tuduhan hari ini keseluruhannya membabitkan RM6.6 bilion… pada masa sama akaun dan asetnya turut dibekukan dan ini mengurangkan risiko anak guam saya melarikan diri.

“Kamu bekukan akaun dia, selepas itu kamu minta lagi jumlah jaminan tambahan. Ini adalah satu bentuk penindasan,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk K Kumaraendran mewakili Irwan Serigar berkata, objektif utama ikat jamin adalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan jumlah jaminan tidak boleh terlalu tinggi

Katanya, mahkamah hanya boleh mengenakan jumlah jaminan yang tinggi jika seseorang tertuduh berisiko untuk melarikan diri.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram yang menjawab hujahan kedua-dua peguam itu berkata tuduhan yang dikenakan Najib hari ini berbeza dengan tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap beliau sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau yang meminta mahkamah mengenakan jaminan RM3 juta setiap seorang, memohon mahkamah menolak permohonan Muhammad Shafee supaya wang ikat jamin sebelum ini diguna pakai dalam kes terbaru.

Bagi tertuduh kedua pula, Sri Ram berkata, Irwan Serigar mendapat faedah emolumen bagi tempoh perkhidmatannya dan jutaan ringgit melalui jawatan pengarah yang disandangnya.

“Ini bukan kisah seorang warga negara yang baik… beliau dibayar dengan jumlah wang yang amat tinggi.

“Beliau adalah pemegang amanah tertinggi membabitkan wang di negara ini. .. dan sekarang beliau berdiri di hadapan anda dan dituduh melanggar kepercayaan itu.

“Secara faktanya, beliau dituduh mencabul kepercayaan itu yang menunjukkan kesalahan jenayah berkenaan amat serius… beliau tidak akan menghadapi kesusahan mencari orang yang boleh membayar jaminan RM3 juta,” katanya.

Seorang lagi peguam Irwan Serigar, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, bayaran gaji dan emolumen yang dinyatakan pendakwaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kes ini.

Geethan berkata, bayaran berkenaan diterima anak guamnya secara sah dan beliau tidak mendapat manfaat daripada wang yang dinyatakan dalam tuduhan.

Berhubung kenyataan Sri Ram bahawa Irwan Serigar bukan seorang rakyat yang baik, Geethan berkata anak guamnya tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Katanya, pendakwaan tidak wajar membuat kenyataan sedemikian.

Tambahnya lagi, jumlah jaminan RM500,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah adalah mencukupi untuk menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah.