Agihan Kerusi, PPBM Jangan Melampau – DAP

Berita Nasional Selangor

PPBM Selangor diberi kata dua oleh DAP supaya tidak melampau dalam menuntut kerusi dan diingatkan supaya patuh kepada keputusan yang sudah dibuat.

Naib Pengerusinya, Datuk Teng Chang Khim menyindir PPBM Selangor yang cuba menunjukkan taring tetapi lama-kelamaan mereka akan tunduk kepada keputusan yang sudah disepakati sesama parti dalam Pakatna Harapan (PH).

“Biasalah orang baru memang macam itu, sentiasa mahu tunjuk taring.

“Bagaimanapun saya yakin itu hanyalah permulaan bagi Bersatu (PPBM), saya yakin lama-kelamaan mereka akan terima keputusan pucuk pimpinan yang akan mengambilkira kepentingan semua parti komponen lain dalam pembahagian kerusi,” beliau dipetik berkata semasa menghadiri sidang media Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina hari ini.

Kenyataan beliau adalah berikutan PPBM Selangor yang bertegas mahu bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi BN pada PRU13 lalu meskipun ia mendapat bantahan daripada PKR.

PPBM Selangor juga enggan menerima keputusan dibuat oleh PH Selangor dan mendesak supaya diberikan lebih kerusi lagi.