Agihan Kerusi : PKR Mungkin Hilang Kerusi MB

Berita Nasional Selangor

Kedudukan jawatan Menteri Besar (MB) dikatakan menjadi punca sebenar dalam percaturan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Dimaklumkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap bertegas menuntut kerusi DUN paling banyak untuk memastikan jawatan MB kekal disandang wakil dari parti tersebut.

Menurut sumber, wujud kebimbangan dalam kalangan pemimpin PKR terhadap pengaruh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika pengagihan kerusi diberi sama rata, sekaligus memungkinkan wakil dari PPBM diangkat sebagai Menteri Besar yang baharu.

“PKR lebih bimbangkan PPBM berbanding Parti Amanah Negara (PAN). Timbul kesangsian siapa akan jadi Menteri Besar jika PKR dan PPBM menang sama banyak dikerusi DUN.

“Jadi, adalah penting untuk PKR bertanding lebih banyak kerusi DUN. Disebabkan sikap tamak PKR inilah punca utama rundingan pembahagian kerusi masih tidak selesai.

“PKR mahu rakyat melihat parti mereka paling berkuasa serta berpengaruh berbanding rakan komponen lain,” lapor sumber kepada Watan Online.

“Kita akui masih terdapat rundingan pada saat akhir dilakukan. Kita juga tidak menolak kemungkinan akan ada perubahan dalam pembahagian kerusi,” katanya.

Sebelum ini, Watan Online melaporkan PKR dijangka akan mendominasi Pakatan Harapan di Selangor dalam pembahagian kerusi DUN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

PKR yang menyandang 14 kerusi dikatakan akan bertanding di 19 daripada 56 kerusi DUN Selangor pada PRU-14.

DAP pula meminta tiga kerusi sebagai tambahan kepada 15 kerusi DUN yang disandang parti itu, menjadikan 18 kerusi keseluruhan.

PPBM dan PAN masing-masing hanya diberi 10 dan sembilan kerusi DUN sahaja.