ADUN DAP tunjuk sikap biadap menggelar ADUN BN “BODOH”

Berita Selangor

Perkataan bodoh telah berkumandang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini sehingga menyebabkan semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) berang.

Sidang DUN menjadi hangat apabila ADUN Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Kim menggelar ADUN Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan sebagai ‘bodoh’.

Tindakan biadap Chang Kim itu tercetus apabila beliau memanggil Halimaton bodoh ketika Naib Ketua Wanita UMNO Selangor itu mahu membahaskan isu berhubung pelupusan kereta-kereta terpakai di kawasannya.

Chang Kim menganggap isu yang dibangkitkan Halimaton itu tidak sesuai dibangkitkan dalam sesi tersebut dan beliau tidak mahu menarik balik perkataan tersebut walaupun didesak oleh ADUN BN yang lain.

Menurut Chang Kim, perkataan itu tidak merujuk kepada sesiapa dan dinyatakan secara umum.

Halimaton, yang ditemui media selepas sesi perbahasan tersebut berkata, perlakuan Exco Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan dan Pengangkutan itu disifatkan sebagai biadap dan tidak menghormati institusi DUN itu.

Katanya, walaupun Chang Kim mendakwa ‘bodoh’ itu bukannya merujuk mana-mana pihak, namun dari ‘bahasa badannya’ jelas merujuk kepada adun-adun BN.

“Saya rasa tidak patutlah seorang Ahli Dewan Negeri, Exco pulak tu mengeluarkan kata-kata yang tidak baik didengar.

“Memang saya tengok tidak beradab, sebab kita berada di dalam dewan yang mulia ini, memang kadang-kadang bila kemarahan itu memuncak, bila kita tidak boleh mengawal emosi kita dan itulah yang terjadi.

“Kita kena faham ‘body-language’ kita, bila kita bercakap, bila tangan kita menunjuk, dan berkata bodoh jadi itu bermakna ia menunjukkan kepada orang yang berada di hadapan, tetapi saya tidak tahu sama ada dia menunjukkan kepada saya atau kepada yang telah membantu saya bercakap tadi (Permatang), dan juga beberapa ADUN BN yang lain,” jelasnya.