9 Soalan Anwar Perlu Jawap – Stevie Chan

Berita Nasional

Calon bebas Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson, Stevie Chan Keng Leong meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjawab beberapa soalan berbangkit melibatkan pembangunan dan pencalonan Presiden PKR itu.

Personaliti Twitter menyatakan kebimbangan selepas Anwar berjanji untuk membawa projek hotel bertaraf lima bintang, program Latihan penerbangan dan pendidikan jika beliau menang pada PRK 13 Oktober ini.

Sehubungan itu, katanya, Anwar bertanggungjawab untuk menjawab kepada pengundi.

Keengganan beliau akan mendorongnya mencabar Anwar untuk berdebat di televisyen.

“Saya ada empat soalan iaitu dua projek pertama yang beliau umumkan. Beliau mendakwa sudah bertemu syarikat berkaitan, pemaju dua syarikat itu komited dengan projek tersebut.

Pertama atas kapasiti apa Anwar membuat rundingan itu?

Kedua siapa yang jumpa siapa dulu, sama ada syarikat jumpa dia dulu atau sebaliknya?

Ketiga adakah Anwar terikat dengan menjayakan projek itu sekiranya menang dan

Keempat adakah syarikat yang terlibat dengan rundingan itu mempunyai kepentingan untuk memenangkan Anwar pada PRK?

Menurut Stevie Chan, baginya perbuatan sebegini adalah gaya politik lama yang telah dicampak rakyat pada 9 Mei lalu.

Dalam perkembangan berkaitan Stevie Chan juga mendesak Anwar menjawab lima lagi soalan yang masih dinantikan jawapan oleh rakyat seluruh negara terutamanya pengundi di Port Dickson.

“Saya harap Anwar boleh menjawab jika ditekan media, kalau tidak, saya akan mencabar dia untuk berdebat dalam kaca televisyen,” tegasnya.

Katanya, Anwar perlu menjawab adakah beliau menerima mana- mana wakil rakyat boleh meletak jawatan tanpa alasan sah ,selain dari kepentingan politik atau adakah ia hanya boleh diterima jika individu yang ingin mengambil alih itu adalah beliau sendiri.

Soalan berikutnya adakah beliau mempertimbangkan alternatif lain untuk langkah PD dan jika ya, kenapa pilih langkah PD dan bukan alternatifnya.

“Selain itu kenapa Anwar perlu memasuki Parlimen sekarang melalui PRK secara paksaan, apakah penting sangat beliau perlu segera memasuki Parlimen.

“Satu lagi persoalan yang berlegar dalam fikiran ialah kenapa beliau tidak memilih kerusi tradisi Permatang Pauh atau Pandan yang disandang isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah?

“Jika isterinya boleh kosongkan kerusi Presiden PKR untuk Anwar maka kenapa tidak boleh melepaskan kerusi Parlimen.

“Adakah terdapat keperluan untuk mempunyai bapa, isteri dan anak perempuan sebagai anggota Parlimen pada masa yang sama?

“Yang penting dan terakhir, jika Anwar menang di PD, adakah beliau boleh menjamin akan terus bertanding di kerusi itu pada PRU depan atau memperalatkan PD sebagai langkah PD dan mengabaikan pengundi selepas mendapat apa yang diinginkan (jadi PM),” tegasnya lagi.