RAFIZI Dan INVOKE Centre Ketepikan Pakatan Harapan?

Artikel Pilihan

Seperti yang kita tahu, Pengerusi INVOKE Centre, Rafizi Ramli, walaupun memegang jawatan tinggi di dalam PKR sebagai salah seorang Naib Presidennya, tetapi tidak dilantik untuk memegang apa-apa jawatan di dalam struktur kepimpinan Pakatan Harapan (PH).

Namun begitu, lagak Rafizi di dalam mengendalikan INVOKE Centre menunjukkan seolah-olah beliaulah tokoh yang paling hebat di dalam PH dan seolah-olah INVOKE Centre-lah yang akan memainkan peranan terpenting untuk memenangkan PH di dalam PRU 14.

Setelah berjaya mengutip derma RM1.5 juta dari rakyat kini Rafizi sedang giat menyebarkan surat jemputan kepada rakan-rakan beliau supaya menghadiri majlis kutipan dana RM5 juta bagi menampung perbelanjaan INVOKE Centre yang perbelanjaan operasi bulanannya didakwa sudah mencecah RM400,000.

Mengikut Rafizi, butiran terperinci perbelanjaan operasi bulanan INVOKE Centre adalah membabitkan RM250,000 untuk menggaji 102 staf, RM80,000 untuk membayar kos 17 pejabat dan RM70,000 kos kempen yang meliputi 53 kerusi Parlimen dan kerusi DUN.

Majlis ini, bernama “Declaration of Assets and Signing of Invoke Reform Charter by MPs and Candidates in conjunction with Launch of INVOKE’s GE14 Crowdfunding Initiative” yang akan diadakan di L Motichan Bangsar, 24, Jalan Telawi 9, Bangsar, pada 18 November ini.

Menurut Rafizi, dana yang dikutip oleh beliau sebelum ini telah habis dibelanjakan kerana INVOKE Centre sebelum ini menjangkakan bahawa PRU 14 akan dilangsungkan pada November 2017 tetapi kini ia dijangka akan dilangsungkan antara Mei ke Julai 2018.

Kata Rafizi lagi, INVOKE Centre telah membelanjakan hampir RM7 juta, dengan RM1 juta didakwa datang dari poket beliau sendiri, sejak Ogos 2016 dan memerlukan RM5 juta lagi untuk terus berjuang sehingga PH akhirnya diisytiharkan telah memenangi Putrajaya.

Lihatlah betapa yakinnya Rafizi akan kemampuan PH yang didakwa telah menyelesaikan dengan secara sistematik isu-isu panas yang melingkarinya, dari kebimbangan ke atas pertarungan tiga penjuru dengan PAS ke soalan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.

Peliknya, tidak pula Rafizi menyatakan apa bentuk penyelesaian yang telah dicapai mengenai kebimbangan ke atas pertarungan tiga penjuru dengan PAS mahupun soalan siapa yang akan menjadi Perdana Menteri  ini serta bagaimana penyelesaian ini telah dicapai.

Lebih menarik ialah majlis INVOKE Centre pada 18 November ini juga akan menyaksikan pengisytiharan harta oleh 20 penyandang jawatan Ahli Parlimen dan calon jangkaan senior PH sekali gus mendahului PH sendiri di dalam mengumumkan calonnya pada PRU 14.

Begitu juga dengan penandatanganan perjanjian (bertajuk INVOKE Reform Charter) antara INVOKE Centre dan calon, di mana, selain menyatakan komitmen untuk melaksanakan satu siri reformasi institusi, calon dikehendaki mengikat diri dengan INVOKE Centre.

Calon bersetuju jika mereka meninggalkan parti mereka untuk menyertai mana-mana parti BN atau mana-mana parti yang mesra BN maka mereka akan membayar RM20 juta dalam masa 30 hari kepada satu tabung amanah yang ditubuhkan oleh INVOKE Centre.

Calon terpaksa diikat dengan RM20 juta bagi memastikan kesetiaan mereka menandakan pengambilalihan peranan PH oleh INVOKE Centre selain menggambarkan betapa ketulusan perjuangan calon PH adalah diragui sehingga terpaksa diikat.

Ini menunjukkan Rafizi telah mendahului dan mengambilalih peranan PH, dan bahawa sebahagian daripada pemimpin PKR mendokong gerak kerja beliau, menunjukkan ketidakyakinan beliau terhadap PH selain menandakan wujudnya perpecahan yang ketara di dalam PH sendiri.

Ia juga menjadi lambang sikap ego Rafizi di dalam menanggapi kehebatan beliau berbanding para pemimpin PH lain sehingga mendorong beliau mewujudkan INVOKE Centre yang tidak diinstitusikan oleh PKR mahupun PH, malah lebih kepada “parti dalam parti”.

Lihatlah betapa bangganya Rafizi: “Saya telah berada pada pusat pembuatan keputusan untuk pembangkang kebangsaan sejak 2010, mengarang kebanyakan dokumennya (dari manifesto, bajet bayangan, Buku Jingga dan sebagainya) dan paling banyak berceramah.”

Lihat juga betapa riaknya Rafizi dengan kelebihan diri beliau: “Saya ada banyak kekurangan tetapi adalah benar bahawa saya ada lebih banyak maklumat dari pelbagai sumber dan perspektif berbanding kebanyakan orang lain dalam kem pembangkang.”

Melihat kepada aturcara majlis, jelas menunjukkan bahawa tumpuannya hanyalah kepada batang tubuh Rafizi dan kepada kehebatan beliau, di mana tiada satu pun yang menampilkan penglibatan para pemimpin PH lain, termasuk Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad, sendiri.

Kita tunggu dan lihat, apakah Rafizi akhirnya akan berjaya mengumpulkan dana RM5 juta bagi menampung perbelanjaan INVOKE Centre menjelang PRU 14 ini,.

Persoalannya siapakah lebih mendapat manfaat jika berjaya jumlah RM5 juta dikutip, sedangkan sebelum ini rakyat sudah didedahkan bagaimana perbelanjaan invoke membayar kakitangan dan Rafizi sendiri.

 

Justeru, kepada rakyat Malaysia, berfikirlah secara waras sebelum menyumbang kepada Invoke apatah lagi pemimpin pembangkang mendakwa rakyat kini susah akibat kemelesetan ekonomi tetapi dalam masa sama Rafizi meminta sumbangan pula.

Jika benar Rafizi adalah tokoh yang paling hebat di dalam PH dan INVOKE Centre adalah pemain peranan terpenting untuk memenangkan PH di dalam PRU 14, mengapa agaknya Rafizi dan INVOKE Centre tidak diiktiraf dan diinstitusikan sama ada di bawah PKR atau PH?

Adalah memalukan jika satu pakatan pembangkang yang besar seperti PH terpaksa bergantung harap kepada badan seperti INVOKE Centre untuk melaksanakan tugasannya, dan dalam proses itu terpaksa membiarkan Perjanjian PH sendiri dibakulsampahkan.