Video – Teresa Kok Terkebil-kebil Jawab Isu Kelapa Sawit Bulanan Atau Tahunan

Uncategorized

KUALA LUMPUR : Menteri Industri Utama, Teresa Kok ‘diserang’ bertalu-talu oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) apabila mengeluarkan kenyataan bahawa satu ekar ladang sawit mengeluarkan hasil empat tan dan jika dijaga dengan baik hasilnya mencecah 12 hingga 15 tan bagi 1 ekar.

Ahli Parlimen BN termasuk Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ahli-ahli parlimen BN terpaksa bangun untuk mencelah semasa Teresa menggulung Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) bagi kementeriannya untuk membetulkan fakta.

“Ini bukan isu nak tolong (perbetulkan kenyataan Teresa), tapi lebih kepada fakta. Menteri perlu tahu, syarikat sebesar atau sehebat mana pun yang urus ladang itu, tidak boleh hasilkan empat tan untuk satu ekar.. apatah lagi 8 tan…12 tan.

“Pergi belajar dengan pegawai MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) mengenai kelapa sawit. Jangan sampai Menteri dituduh beri fakta salah kepada mereka,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata kesalahan yang dilakukan Teresa itu tidak masuk akal dan boleh bahan lawak rakyat.

“Satu hektar bersamaan 2.47 ekar. Jika dapat 12 hingga 15 tan, bermaksud kena dapat lima tan untuk satu ekar, tapi ini tidak dapat. Saya pernah tanak kelapa sawit, jika cuaca baik kita dapat 0.6 hingga 1 tan untuk satu ekar. Terpulang berapa baja yang kita tabur dan jika guna baka terbaik, dapat tambahan 30 peratus.

“Saya tidak tahu bagaimana pegawai YB boleh bagi angka satu ekar dapat 12 hingga 15 tan. Lepas ini, minta pegawai bagi jawapan yang betul kepada menteri yang ‘rajin’. Kalau tidak, orang gelak dengan apa yang berlaku, tidak masuk akal sebab memang tidak akan berlaku,” katanya.

Teresa tersipu-sipu dengan teguran ahli parlimen BN itu dan berpendapat bekas menteri dan timbalan menteri BN itu sengaja ingin ‘mencuit’ dan menguji tahap pengetahuannya.

“Mereka lebih tahu isu ini lebih daripada saya. Saja nak uji saya boleh jawab atau tidak,” katanya.

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd. Shahar Abdullah berkata Teresa perlu menarik balik jawapan yang disampaikan pada sidang Dewan Rakyat semalam.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan melalui Twitternya turut menyindir Teresa dengan mempersoalkan jenis kelawa sawit yang ditanam menteri itu.

“Menteri YB Teresa Kok betulkan di Dewan Rakyat. Bukan 1 ekar 12 hingga 15 tan tapi 1 hektar. (1 hektar = 2.47 ekar). Sebulan? Jadi 4.86 – 6.07 tan seekar. Masih tinggi kiraan ini.

“Apa jenis “supersawit” ini? Macam “superman”! Setahun? Tak ada orang jual sawit ikut kiraan setahun,” katanya.

Sebelum ini, NGO Generasi turut menyatakan Teresa seperti berada di ‘gelanggang Maharaja Lawak’ kerana membuat Dewan Rakyat yang menjadi tempat menggubal dasar seperti mengambil maklumat dari mana-mana bakul sampah. – bnpportal.com