Video: Waytha Moorthy Terdiam Diserang Bertubi-Tubi Isu ICERD

Berita Nasional

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana, P. Waytha Moorthy yang mencetuskan kontroversi berhubung kenyataan mengenai ICERD dan memburukkan imej negara dan Islam, diserang bertubi-tubi oleh pembangkang di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang bertanggungjawab di bawah portfolio perpaduan turut digelar menteri penghasut, penipu, jahat serta rasis oleh ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) serta PAS.

Waytha Moorthy yang memberikan jawapan tidak tepat dan mengelirukan berhubung isu meratifikasi ICERD serta rakaman video memburukkan imej Malaysia yang sedang viral juga didesak meletak jawatan oleh ahli-ahli parlimen pembangkang.

Antara ahli parlimen BN yang bangkit mempersoalkan kenyataan pemimpin Hindraf itu adalah Ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ahli Parlimen Parit Sulong Datuk Dr Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Rahman turut bertikam lidah dengan Waytha Moorthy.

Manakala Ahli Parlimen PAS Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary turut membidas beliau dan Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga mencelah menyatakan Moorty tidak layak menjawab soalan sebaliknya mahu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berbuat demikian.

Selain jawapan yang mengelirukan Dewan dan memutar belit, beliau turut menuduh kerajaan BN mengamalkan diskriminasi terhadap masyarakat India menyebabkan ahli-ahli parlimen BN termasuk dari Cameron Highlands C.Sivvarrajh turut mengecam beliau.

Tindakan Waytha Moorthy cuba mempertahankan diri dengan menyatakan beliau adalah bekas peguam ditentang Noh dengan mengatakan, beliau juga bekas peguam.

“ Jangan cerita pasal peguam dalam ini. Saya nak tanya kenapa Yang Berhormat di luar negara cakap lain (video viral), cakap kita diskriminasi, runtuh kuil, paksa masuk Islam tapi dalam Dewan ini kata tiada diskriminasi, kenapa double standard, jangan di luar hina negara, hina Islam di dalam Dewan nak jadi hero pula,” tegas Ahli Parlimen Tanjung Karang.

Tambah Noh lagi, menteri itu patut ingat kerana disebabkan diskriminasilah seperti termaktub di dalam Perlembagaaan, menteri itu berada di dalam Dewan kerana diberikan kewarganegaraan.

Ketika pertikaman lidah hampir 20 minit itu, ahli-ahli parlimen Melayu mewakili PPBM, PKR, PAN hanya mendiamkan diri hingga dibidas Tajuddin.

Selain itu tindakan Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mematikan pembesar suara menyebabkan tidak dapat didengar dengan jelas perdebatan ahli-ahli parlimen di dalam Dewan.

Ikuti rakaman pertikaman lidah antara Waytha Moorthy dengan ahli-ahli parlimen BN dan PAS berhubung isu ICERD dan videonya memburukkan imej negara dan Islam.