UMNO Yakin Menang PRK Rantau – Zahid Hamidi

Berita Nasional

Kuala Selangor – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO yakin akan dapat mempertahankan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“UMNO tidak gentar untuk bertanding di DUN Rantau dan pihaknya akan membuktikan bahawa parti keramat Melayu itu masih menjadi pilihan rakyat,” katanya ketika berucap semasa menghadiri program perjumpaan presiden Umno bersama kepimpinan tertinggi Umno peringkat Selangor di Kuala Selangor.

“Rantau ditakdirkan akan mengadakan PRK selepas mahkamah buat keputusan membatalkan kemenangan Tok Mat (Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan).

“Ikut perundangan, Tok Mat boleh buat rayuan, tetapi saya minta beliau tidak buat rayuan. Umno berani bertanding dan ini adalah kawasan kubu kuat Umno,” katanya.

Jumaat lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan bahawa kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal dan PRK DUN itu perlu diadakan serta-merta.

Sebelum ini Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas calon PKR Dr S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.