SST Menekan Rakyat, Layak Digelar Mahazalim?

Berita Nasional

Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru disifatkan sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah namun persoalan dilontarkan bagaimana sesebuah negara yang bakal muflis mampu membentangkan perbelanjaan sebesar ini.

Begitu soalan yang dilontarkan oleh Ahli Parlimen Cameron Highlands (BN), Datuk C. Sivarraajh kepada kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 sebentar tadi.

Kata Sivarraajh, beliau tidak begitu pasti bagaimana dakwaan seperti itu mampu disebarkan oleh PH sehingga menyebabkan rakyat mengundi sehingga membawa kemenangan besar kali ini.

Bagaimanapun kata Sivarraajh, walaupun belanjawan itu besar namun sebahagian besar perbelanjaan sektor-sektor utama telah di potong.

“Misalnya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar telah di potong bajet sehingga RM109.9 juta. Kementerian Industri Utama pula telah di potong sebanyak 72 peratus, bantuan musim tengkujuh untuk pekebun kecil dan penoreh hampir RM261 juta telah tiada.

“Secara umumnya, 2019 bakal menjadi tahun mencabar untuk rakyat kita, ekonomi dijangka terus bertumbuh pada kadar perlahan berdasarkan prestasi Penunjuk Ekonomi Malaysia.

“Persoalan saya kini, adakah Belajawan ini benar-benar telah menyediakan satu pakej rangsangan yang baik untuk pembangunan sosio-ekonomi rakyat dalam menghadapi hari-hari akan datang,” soalnya.

Tambah Sivarraajh, ketika kerajaan terdahulu melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kononnya menzalimi rakyat namun dengan mengantikan dengan cukai SST, rakyat masih terbeban.

Malah kata Sivarraajh, pelbagai lagi cukai lain telah diperkenalkan ketika ini selepas penghapusan GST.

“Kalau kami kenakan GST itu zalim, adakah anda kenalkan SST itu ‘Maha Zalim’? Tanya sendiri. Kini kerajaan terpaksa mengenakan cukai-cukai lain, tidakkah semua ini membebankan rakyat apatah lagi ketika era ekonomi yang mencabar?

“Harga barang tidak turun walaupun itu yang telah dijanjikan selepas penurunan GST pada kadar sifar peratus. Kita diberikan pula penjelasan dan pusingan ‘U’ berikutan isu ini,” tegasnya.

Sivarraajh juga turut menyoal tentang rasional peruntukan RM4 bilion untuk masyarakat India bagi tempoh 10 tahun akan datang dengan peruntukan RM400 juta setahun.

“Untuk seketika selepas pengumuman oleh seorang Menteri Kabinet baru-baru ini, masyarakat India begitu teruja. Namun ketika pembentangan, peruntukan sebanyak RM150 juta sahaja telah diperuntukan. Jumlah ini cukup rendah berbanding kerajaan BN yang terdahulu.

“Kini ada empat Menteri dalam kalangan masyarakat India tetapi peliknya jumlah yang diperuntukkan dalam Belanjwan sulung ini sendiri terlalu rendah, siapa sebenarnya menzalimi? Siapa yang mengabaikan masyarakat India sebenarnya?,” tegasnya.

Kata beliau lagi, walaupun mempunyai peruntukan paling besar untuk Kementerian Pendidikan iaitu sebanyak RM60.2 bilion namun ianya seolah-olah tidak disalurkan untuk keperluan sebenar pendidikan nasional.

“Contohnya, peruntukan untuk Universiti Malaya telah dikurangkan sebanyak RM50 juta walaupun ketika ini ia merupakan antara 85 universiti terbaik dunia.

“Tidak cukup dengan itu, bantuan bagi pelajar juga telah dikurangkan, bantuan seperti makanan prasekolah dan makanan asrama telah di potong RM100 juta dan RM10 juta. Tidak termasuk juga program biasiswa lain.

“Tiada apa yang boleh dibanggakan dalam soal pendidikan, belanjawan untuk pembangunan untuk sekolah hampir sama dengan apa yang telah diperuntukan oleh kerajaan BN tahun lepas dan sebelumnya,” tegas beliau.

Sivarraajh turut meningatkan kerajaan PH bahawa rakyat yang selama ini telah mereka ‘gula-gulakan’ itu sebenarnya sedang memerhati apatah lagi setiap janji kini seolah-olah langsung tidak dapat dipenuhi.

– MalaysiaGazette