Pemuda Tg Karang Menyokong Cadangan Pemuda UMNO Malaysia

Berita Nasional

Tanjong Karang – Ketua Pemuda UMNO Tanjong Karang Dato Haji Mohd Shahrizal Sahri dalam siaran media yang dikeluar sebentar tadi telah menyatakan sokongan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Berikut adalah kenyataan penuh dari Ketua Pemuda UMNO Tanjong Karang

1. Kami barisan kepimpinan Pemuda UMNO Tanjong Karang ingin mengambil perhatian terhadap perkara yang berlaku mutakhir ini yang membabitkan Presiden UMNO.

2. Kami turut bersimpati dan amat dukacita dengan pertuduhan yang dikenakan dan berharap biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan bukannya dihukum melalui perbicaraan media. Kami tidak akan berkompromi sama sekali sekiranya proses perundangan ini tidak mengangkat prinsip ‘Rule of Law’ seperti yang dilaungkan kerajaan Pakatan Harapan.

3. Pada masa yang sama, kami juga mengambil ketetapan untuk menyokong cadangan yang dikemukakan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia agar YB Presiden mempertimbangkan untuk bercuti buat seketika daripada menjalankan tugas Presiden dan memberi fokus kepada usaha membersihkan nama daripada semua pertuduhan.

4. Ini adalah selari dengan keputusan konvesyen UMNO yang menetapkan bahawa pemimpin atau mana-mana ahli parti yang didakwa di mahkamah harus mengambil cuti untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan mereka sehingga selesai.

5. Walaupun ada yang tidak bersetuju konvesyen ini digunapakai meskipun UMNO bukan lagi kerajaan, namun perlu ditegaskan bahawa amalan dan budaya yang bermaruah ini perlu diteruskan bagi membuktikan UMNO sebuah parti yang berintegriti dan betul-betul berubah sepertimana yang diharapkan rakyat. Inilah prinsip yang bermaruah yang tidak ada pada mana-mana parti dalam negara ini.

6. Sekiranya ada yang samakan dengan kes Menteri Lim Guan Eng (DAP) dan Rafizi (PKR), itulah yang membezakan dengan parti ini kerana DAP dan PKR hanya ada Guan Eng dan Rafizi sebaliknya UMNO mempunyai ramai lagi pemimpin pelapis yang tidak boleh disisihkan dalam menentukan hala tuju parti. Sebagai contoh, ketika TS Muhyiddin dipecat, DS Zahid Hamidi dari Naib Presiden terus diangkat memangku jawatan Timbalan Presiden dan selepas DS Najib dipaksa letak jawatan, DS Zahid Hamidi diangkat memangku jawatan Presiden. Isu ketiadaan pelapis tidak timbul dalam hal ini. Seperti kenyataan Datuk Razlan Rafii hari ini, ‘kalau semua MT letak jawatan sekalipun, masih ada 3 juta ahli boleh ganti.’

7. Namun, kami juga ingin mengajak seluruh ahli UMNO untuk tidak terlampau mengikut emosi sehinggakan wujud pertelingkahan melampau dalam kalangan ahli. Kami berharap Majlis Tertinggi UMNO dapat bertanggungjawab dalam menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

Terima kasih.

Dato Haji Mohd Shahrizal Sahri
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Tanjong Karang