Pelik, Peguam Negara Iktiraf Dong Zong?

Berita Nasional

KUALA LUMPUR – Sungguhpun Peguam Negara mempunyai hak untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan menduduki Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), keputusan beliau didakwa melanggar grundnorm atau asas kepada dasar-dasar peraturan negara.

Ini kerana, selama 61 tahun Dong Zong tidak pernah mengiktiraf Malaysia berikutan ia tidak mahu mengakui nilai-nilai kebangsaan dan menampakkan anti-perpaduan secara sistematik dan konsisten

Malah, kegiatan dan falsafah Dong Zong secara terang-terangan bertentangan dengan pembinaan negara apabila enggan menerima Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Tindak-tanduk Dong Zong ini memperlihatkannya sebagai kumpulan ektremis yang bukan ganas.

Lantaran itu, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican bertanya, untuk apa Peguam Negara mengiktiraf UEC kerana peperiksaan itu adalah ‘jelmaan’ daripada pertubuhan tersebut?.

“Soalannya mudah sahaja, mampukah Dong Zong menerima peperiksaan UEC dijalankan dalam bahasa Melayu?

“Pada saya sudah pasti jawapan mereka adalah tidak. Kalau boleh sudah tentu tidak bermakna lagi perjuangan Dong Zong kerana ‘memakan diri sendiri’.

“Oleh yang demikian mengapa permintaan mereka (Dong Zong) perlu dilayan oleh Peguam Negara walaupun beliau ada kuasa mutlak dalam memutuskan perkara itu? Apatah lagi semua aktiviti Dong Zong mempunyai konflik dalam norma-norma institusi nasional.

“Bagaimana pembuat undang-undang boleh menyebelahi satu pertubuhan yang melanggar asas kepada dasar-dasar negara, yang mana tanggungjawab dan peranan Peguam Negara memelihara dan mengawal selia undang-undang dan peraturan negara,” soal Ahmad Murad.

Beliau yang juga Profesor di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia berkata, keputusan Peguam Negara itu memang tidak masuk akal.

“Pendidikan China sudah menjadi darah daging Dong Zong sejak sekian lama dan kenapa pula kerajaan meraikan pendidikan itu di Malaysia sedangkan negara ini memiliki falsafah pendidikan sendiri.

“Tindak-tanduk Peguam Negara ini secara halusnya mengiktiraf Dong Zong,”ujar beliau lagi.

Ahmad Murad berkata, keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara itu telah mengenepikan grundnorm tanah air sendiri.

Beliau menambah, sebagai majoriti penduduk di negara ini, orang Melayu memang menolak unsur-unsur kecinaan yang melampau meskipun Malaysia sebuah negara majmuk.

“Orang Melayu meraikan kepelbagaian kaum, bahasa dan budaya tetapi bukan unsur-unsur yang melampau,” tambah beliau lagi.

Beliau yang kecewa dengan keadaan ini tidak menyangka keputusan Peguam Negara itu adalah satu manifestasi pasca 9 Mac 2018 (Pilihan Raya ke-14).

“Kerajaan sahaja yang baharu tetapi bukan Malaysia Baharu. Rakyat mengharapkan pentadbiran kerajaan yang lebih baik daripada dahulu dalam Malaysia Baharu. Tetapi yang kita lihat adalah hala tuju yang kucar-kacir,” katanya.

– MalaysiaGazette