PAS MAKIN RAPUH BAWAH PIMPINNAN ABDUL HADI – ILHAM CENTRE

Berita Nasional

Ilham Centre menyifatkan kekuatan PAS makin rapuh di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang khususnya di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan utara Perak.

Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, berkata kajian itu dijalankan di kawasan lingkaran Melayu di utara semenanjung.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira dua bulan membuat tinjuan itu dengan menemu bual pimpinan yang memegang jawatan secara rawak serta terpilih.

“Hasil kajian ini kita dapati sudah berlaku rungutan dan kebimbangan pimpinan bawahan parti di peringkat cawangan dan kawasan terhadap perkembangan PAS mutakhir ini.

“Kebanyakan mereka yang ditemui ialah penyokong kem ulamak ketika muktamar awal tahun baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Hisommudin, kesimpulan daripada kajian dan tinjauan itu pihaknya mendapati, pimpinan PAS peringkat tertinggi termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat sekarang kurang dikenali sejak menang dalam pemilihan muktamar lalu sehingga kini.

Katanya, jika dibuat perbandingan antara AJK PAS Pusat terdahulu dan diukur pada tempoh masa yang sama didapati pimpinan sebelum ini lebih menonjol dan rajin memenuhi ceramah anjuran kawasan.

“Pimpinan sekarang tidak turun ke bawah dan tidak menonjol di media menyebabkan kewujudan mereka tidak dirasai.

“Sifat lebih elitis dan sukar memenuhi undangan untuk berceramah di kawasan. Jika adapun, nama pimpinan tersebut tidak menarik minat orang ramai untuk hadir.

“Lebih malang nama sebesar Ketua Pemuda dan Ketua Penerangan, tetapi kehadiran sekadar mereka yang hadir ke majlis tahlil sahaja,” katanya.

Beliau turut menyatakan, Lujnah yang ditubuhkan juga gagal berfungsi, malah tidak dirasai kewujudannya.

Hisommudin memberi contoh, Pesuruhjaya PAS Negeri tidak dikenali dan diyakini untuk memimpin negeri serta pilihan raya sebagaimana Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi tidak dikenali ahli parti akar umbi dan tidak faham kenapa Abdul Hadi memilih individu seperti itu.

“Persoalan mengapa tidak Datuk Mahfuz Omar, Datuk Ir Amiruddin Hamzah ataupun Nasir Mustafa (ADUN) Kubang Rotan yang berstatus Yang Berhormat dan lebih senior dalam politik Kedah.

“Pelantikan Razman Zakarian sebagai Pesuruhjaya PAS Perak misalnya, lebih mengundang kontroversi daripada reputasi mengangkat imej parti di negeri yang mempunyai komposisi demografi mini Malaysia,” katanya.

Wartawan Watan-Online