Kerajaan PH ‘Semakin Hampir’ Menjadikan Jumlah Hutang Negara RM1 trilion – Najib Razak

Berita Nasional

SINIS… Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan kewibawaan Belanjawan 2019 dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkan gagal meyakinkan pasaran.

Bekas Perdana Menteri turut lahir kebimbangan terhadap kadar hutang dan jumlah hasil kerajaan tahun depan, berikutan Belanjawan 2019 dirangka tanpa ambil kira kemungkinan kesan terburuk terhadap harga minyak mentah dunia.

Ahli Parlimen Pekan itu turut memberi amaran risiko perlu ditanggung kerajaan apabila menurunkan penarafan Petronas kerana ia memberi impak secara langsung kepada penarafan antarabangsa terhadap Malaysia.

“Biasanya selepas membentang bajet, kena lihat kepada fenomena kesannya terhadap pasaran.

“Selepas Belanjawan 2019 dibentangkan, Bursa Malaysia jatuh 200 mata sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ringgit pun orang sebut terus jatuh. Saya ada mendengar ungkapan sebelum PRU, ‘kalau Najib turun, ringgit akan naik’ tapi sekarang Najib dah turun, ringgit masih parah.

“Kita juga lihat dana asing yang semakin mengalir keluar dari negara. Ini bererti bajet ini gagal memberi keyakinan kepada pasaran,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Najib berkata, belanjawan perlu dirangka dengan mengambil kira keadaan terburuk mungkin berlaku pada harga minyak dunia.

Katanya, perangkaan bajet mesti dilakukan secara berhemah supaya kerajaan dapat membuat persediaan jika berlaku perkara luar jangka pada harga minyak.

“Saya dah sebut jangan ambil harga minyak dengan andaian AS$70 satu tong. Bajet dirangka masa itu pada harga AS$80 satu tong dan semalam harga minyak Brent turun AS$65 satu tong.

“Tidak sampai 10 hari, Belanjawan 2019 sudah tidak relevan lagi. Ini serius. Kalau turun lagi hingga AS$60 atau AS$50? Waktu saya jadi Menteri Kewangan, harga minyak jatuh sampai AS$28 satu tong.

“Bagaimanapun, oleh kerana dasar kita yang berhemah, kita tidak mengalami krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi.

“Ini serius kepada implikasi hasil dan hutang negara. Saya harap seandainya harga minyak jatuh, ia tidak ke paras lebih rendah,” katanya.

Jika penarafan Petronas boleh jatuh, beliau berkata, kadar kredit penarafan antarabangsa terhadap Malaysia berpotensi berdepan keadaan sama.

“Saya nak beri amaran. Saya takut ini menjadi titik permulaan kerana apabila penarafan kredit Petronas lebih tinggi berbanding kadar kredit nasional. Kalau Petronas boleh turun, tidak mustahil penarafan antarabangsa kita boleh jatuh.

“Saya harap ini tidak berlaku kerana kalau berlaku, apa implikasinya? Pembayaran hutang kerajaan akan meningkat mendadak. Ini serius,” katanya.

Najib turut menyindir PH yang disifatkan ‘semakin hampir’ menjadikan jumlah hutang negara mencecah RM1 trilion.

“Selama ini kerajaan PH sebut hutang negara RM1 trilion tapi dalam buku (Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11) RM686 bilion. Peratusan hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah 50.7 peratus.

“Tapi apabila defisit naik 3.7 peratus tahun ini, tahun depan naik 3.4 peratus. Kita (BN) unjurkan kadar defisit 2.8 peratus tahun ini. Kalau defisit terus meningkat, hutang kerajaan akan bertambah kepada RM820 bilion.

“Ini bererti impian PH nak mencapai RM1 trilion hutang kerajaan hampir menjadi kenyataan,” katanya.

– BH ONLINE