Kakitangan Kemas Dilarang Libat Diri Dalam Politik

Berita Nasional

KUCHING: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengeluarkan arahan supaya kakitanganya tidak terlibat dengan mana-mana parti politik, kata Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) R Sivarasa.

Beliau berkata fokus utama Kemas adalah memberikan tumpuan kepada pembangunan pendidikan kanak-kanak di peringkat taman asuhan kanak-kanak (taska) dan taman bimbingan kanak-kanak (tabika).

“Dulu mungkin Kemas dilihat sebagai sebuah agensi yang digunakan oleh beberapa parti politik untuk faedah mereka, kini dibawah kerajaan baharu (Pakatan Harapan), kementerian telah memastikan agar tiada kakitangannya terlibat dengan parti politik.

“Fokus Kemas hanya pada pendidikan kanak-kanak, jadi tiada isu Kemas tidak membantu kerajaan negeri, itru adalah salah faham,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah di DUN, hari ini.

Kunjungan sulung beliau ke negeri ini membincangkan kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam pembangunan luar bandar yang melibatkan pembangunan infrastuktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.

“KPLB memperuntukkan RM5 bilion untuk pembangunan luar bandar, RM3 bilion khususnya untuk ‘infra-pembangunan’ di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Kerajaan negeri Sarawak juga memperuntukkan sejumlah peruntukan dalam memastikan pembangunan luar bandar akan terus dilaksanakan,” katanya.