Jelutong Buka Mulut Saja Saya Dah Tahu Dia Menipu

Berita Nasional

Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer yang kerap mencelah dan cuba menganggu perbahasan ahli-ahli parlimen pembangkang, diberi ‘pengajaran’ oleh Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias, hari ini.

Malah, Rayer yang bangun ketika Jalaluddin sedang berbahas mengenai Kajian Separuh Penggal RMK11, tergaman apabila ahli parlimen Barisan Nasional itu, berkata, sudah tahu apa hendak dicakap oleh Ahli Parlimen Jelutong itu.

“Jelutong buka mulut sahaja saya dah tahu dia menipu,” demikian respon Jalaluddin terhadap pencelahan Rayer di Dewan Rakyat, Selasa.

“Saya sebenarnya sebelum Jelutong minta laluan saya dah tahu apa Jelutong nak cakap. Jelutong buka mulut sahaja saya dah tahu apa dia nak cakap. Dia buka mulut sahaja saya dah tahu dia menipu.

“Saya nak beritahu Jelutong, bahawa apa yang berlaku dalam kerajaan samada dulu atau sekarang, yang salah tetap salah. Kita ada undang-undang, biarkan proses undang-undang berjalan. Kita jangan letakkan kesalahan dan kita war-warkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Rayer di dalam pencelahannya sebelum itu telah membangkitkan isu berkenaan pendedahan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berhubung 1MDB yang didakwa secara tidak langsung telah mengakibatkan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Menurut Jalaluddin, Rayer sepatutnya membiarkan proses undang-undang berjalan terlebih dahulu berhubung isu yang menyelubungi syarikat 1MDB.

Terdahulu di dalam ucapannya, Jalaluddin berkata kajian separuh penggal yang dibentangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu telah membuktikan bahawa BN telah mencuba yang terbaik untuk membawa negara ke tahap yang lebih tinggi sepanjang mereka memerintah.

“Jika kita lihat daripada laporan ini, adakah dakwaan yang dilemparkan kepada kerajaan BN adalah sesuatu tuduhan yang benar? PH berulang kali menyebut bahawa BN gagal mentadbir negara dengan baik.

“Disebut BN tidak pandai untuk menguruskan ekonomi. Dan tidak putus-putus mereka mengatakan bahawa hutang negara meningkat dan negara yang semakin maju ini adalah negara yang bakal bankrap di bawah pentadbiran kerajaan yang terdahulu.

“Saya ingin tegaskan bahawa apabila keluarnya dokumen rasmi ini, maka saya boleh katakan dengan perasaan yang sangat bangga bahawa BN telah mencuba yang terbaik untuk memacu negara ke satu tahap yang lebih tinggi daripada keadaan sebelumnya.

“Kajian separuh penggal ini adalah antara bukti terawal yang boleh ditunjukkan kepada rakyat sekaligus menafikan segala tuduhan jahat kepada kerajaan terdahulu,” katanya.

Selain itu beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memendekkan tempoh Rancangan Malaysia daripada lima tahun kepada tiga tahun.

Cadangan tersebut katanya seiring dengan pergerakan ekonomi semasa yang berkembang pesat dan cepat.

“Saya mencadangkan RMK ini tiga tahun cukup. Kalau Menteri Besar dua penggal, Perdana Menteri dua penggal, (RMK) kita buat tiga tahun kerana pergerakan ekonomi negara sekarang sangat pantas dan cepat.

“Jadi kita mungkin dalam percaturan pertama itu tidak menepati kehendak rakyat pada ketika berkenaan dan saya mencadangkan supaya kita mendapat satu pendekatan baru untuk kita kaji balik,” katanya.

– bnpportal.com