Jawatankuasa Khas UMNO & PAS Ditubuhkan Demi Kesinambungan Umat Melayu Islam.

Berita Nasional

KUALA SELANGOR – Jawatankuasa khas Umno dan Pas akan ditubuhkan untuk kesinambungan kerjasama kedua parti demi perjuangan Melayu Islam.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa khas di peringkat pusat diketuai oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya lagi jawatankuasa khas itu digerakkan di peringkat pusat untuk penganjuran program sosial bersama Umno dan Pas dan penganjuran Perhimpunan Ummah yang dijangka pada 8 Disember ini akan menjadi sebahagian program bersama Pas untuk memperjuangkan Islam, Melayu dan tanah air.

“Saya juga akan anjurkan perhimpunan sama di setiap negeri bagi menyemarakkan lagi jalinan kerjasama kedua parti sekali gus menaikkan semangat orang Melayu Islam.

“Jalinan kerjasama yang dimulakan bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dengan presiden Pas semasa persidangan parlimen baru-baru ini dengan memberi laluan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berbahas untuk mengambil gulirannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Perjumpaan Khas Presiden dan Pimpinan Tertinggi Umno Pusat ke Selangor di Kompleks Umno Bahagian Kuala Selangor.

Hadir sama, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim.