Isu Perumahan : Pemaju Yang Salah Kenapa Kerajaan Yang Terbeban

Berita Nasional

Adakah ini antara sebab musabab kerajaan PH bersungguh-sungguh melaksana Skim FundMyHome, yang nampak nak tolong rakyat tetapi disebaliknya menyelamatkan dan menguntungkan pemaju perumahan.

KUALA LUMPUR – Selagi tidak ada usaha membangunkan kediaman mampu milik, sehingga bila-bila pun isu perumahan di negara ini tidak akan selesai.

Isu perumahan di Malaysia sekarang sudah berada di tahap ‘pelik’ apabila para pemaju berlumba-lumba membina kediaman mewah sedangkan keperluan sebenar penduduk adalah rumah mampu milik dan kos rendah.

Malah, tidak pernah berlaku lagi di negara-negara maju, yang mana lebihan berlaku dalam bekalan rumah mewah sehingga memaksa kerajaan pula bertungkus-lumus merancang strategi bagi membantu pemaju yang berada dalam tertekan.

Lebih malang lagi, apabila pendekatan-pendekatan yang diambil tidak menjurus kepada membantu rakyat membeli rumah tanpa membebankan mereka.

Penganalisis hartanah, Sharom Md Ariffin yang menyifatkan masalah perumahan di negara ini tidak ada jalan keluar berkata, isu ini wujud kerana sikap pemaju yang tamak dan membangunkan sektor itu semata-mata untuk mengaut keuntungan sahaja tanpa ada amalan tanggungjawab sosial korporat.

“Siapa yang suruh pemaju tumpu projek kediaman melebihi RM250,000 ke atas. Buktikan kalau ada permintaan, buktikan juga jika pemaju telah merujuk kepada kehendak pasaran.

“Atas asas apa pemaju berlumba-lumba membina kediaman mewah, letak harga tak masuk akal. Sedangkan nisbah penduduk Malaysia masih 40 peratus golongan pertengahan dan 40 peratus penduduk berpendapatan rendah dan miskin.

“Banyak mana sahaja orang kaya di Malaysia ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai senario isu perumahan negara.

Di kebanyakan negara, jumlah dan kategori kediaman dibina berdasarkan keperluan rakyat. Ia melihat kepada pendapatan per kapita, keperluan rakyat dan lokasi.

Sebaliknya, di Malaysia, pembinaan kediaman dipengaruhi oleh sikap ‘syok sendiri’ pemaju.

“Saya percaya dan yakin jika pemaju merujuk sekurang-kurangnya kepada Laporan Status Pasaran Hartanah, masalah lambakan kediaman tidak terjual tidak berlaku,” katanya.

Sharom turut mempersoalkan kewajaran pemaju meletak harga rumah melebihi suku juta terutama di kawasan pinggir bandar sedangkan premium tanah yang dibeli suatu ketika itu sangat murah.

“Saya boleh terima jika hartanah berjuta dijual berhampiran KLCC atau tengah-tengah Kuala Lumpur. Tetapi kalau di Dengkil pun sudah RM400,000. Di Sendayan pun, harga rumah sudah hampir setengah juta. Siapa yang mampu nak beli?.

“Sebab itu saya bersetuju dengan Persatuan Pembeli Rumah yang menyatakan pembeli bukan ada masalah dengan pembiayaan tetapi harga rumah yang mahal. Memang betul pun,” tambah beliau.

Sharom berkata, memang bagus kerjasama pemaju perumahan dan kerajaan untuk melaksanakan kempen membeli rumah bagi mengurangkan lambakan kediaman tetapi sejauh mana keupayaan para pemaju memberi potongan kepada pembeli turut menjadi persoalan.

“Setakat 10 peratus apalah sangat dengan harga rumah yang mencecah RM400,000 lebih. Pada saya ia masih tidak cukup dan tidak mampu memenuhi kapasiti kewangan majoriti pembeli rumah tempatan yang masih mahukan kediaman mampu milik dan rumah murah,” tambahnya.

Beliau yang khuatir dengan situasi ini berkata, kerajaan perlu serius menangani isu lambakan kediaman kerana masalah sama turut wujud dalam hartanah komersial terutama pusat beli-belah.

Jelasnya, keadaan ini jika tidak ditangani secara serius dan bijak akan menjejaskan eko-sistem ekonomi negara.

– MalaysiaGazette