Isu ICERD : Giliran Menteri Luar Dibelasah, Beri Jawapan Berbelit-belit

Berita Nasional

KUALA LUMPUR – Kegagalan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menyatakan pendirian kerajaan sama ada mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) atau tidak mencetus kekecohan di Dewan Rakyat, petang Rabu.

Beberapa ahli parlimen blok pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) dan PAS bersilih ganti menuntut Saifuddin memberikan jawapan jelas berhubung isu tersebut setelah menteri itu dilihat melencongkan jawapannya.

Ada juga ahli parlimen pembangkang mencadangkan supaya kerajaan meratifasikan beberapa perkara lain yang lebih utama bukannya ICERD yang mencetuskan kemarahan rakyat.

Bagaimanapun, Saifuddin hanya menjawab mengenai tafsiran ICERD, kaitan dengan perlembagaan dan undang-undang serta menegaskan bahawa ianya bertujuan meratifikasikan perkara yang mustahak untuk menegakkan dan melindungi hak asasi manusia.

Ini menyebabkan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bangun dan bertanya, adakah menteri menyatakan kerajaan akan meneruskan cadangan retifikasi sama ada sekarang atau kemudian.

“ Saya nak tanya, itukah pendirian kerajaan Pakatan Harapan sekarang,” tegasnya.

Ahli Parlimen PAS Rantau Panjang Zailah Yusoff juga mencelah bertanya pendirian kerajaan sekarang serta mempersoal pendirian sesetengah pemimpin PH yang bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian bangun menyuarakan perkara sama yang dibangkitkan oleh ahli-ahli parlimen pembangkang.

“Saya mohon penjelasan menteri kerana kenyataan Perdana Menteri mohon menangguhkan agak jelas. Saya juga mohon ditangguhkan.

“Bagi saya, untuk menolak kemungkinan ketegangan, kita harus memperincikan semula bagi mengelak kebimbangan masyarakat dengan tidak meneruskan rancangan ini sehingga perkara prinsip dimuktamadkan,” ujar Presiden PKR itu.

Justeru itu, Anwar memohon Saifuddin memberi penjelasan dengan menyatakan perkara itu ditangguhkan sahaja dahulu.

Ahli Parlimen PAS Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary yang tiba-tiba bangun menegas bahawa, perkara itu tidak perlu ditangguhkan sebaliknya perlu dibatalkan.

Bagaimanapun, Saifuddin terus memberi jawapan yang mengelirukan dan tidak menjawab dengan tepat soalan-soalan dibangkit oleh ahli-ahli parlimen tadi.

“Menteri tidak pandai menjawab, tiada kualiti,” terdengar rungutan Tajuddin.

“Kita Tanya tadi pasal ICERD. Yang Berhormat tak jawab. Mudah sahaja. Berpusing-pusing, jawablah” tegur Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

“Yang Berhormat Port Dickson bakal Perdana Menteri sudah cakap tadi, tangguhkan, tangguh saja lah,” celah Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menyidir Saifuddin.

Saiffudin dalam jawapan seterusnya memberitahu, keputusan ICERD akan dibuat oleh Kabinet dengan mengambil kira semua pandangan ahli-ahli parlimen.