Guan Eng Tak Percaya Pada Syed Saddiq, Letak Peruntukan E-Sport Bawah MDEC?

Berita Nasional

Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah mempersoalkan tindakan Kementerian Kewangan yang memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk membangun dan menggalakkan E-sport di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menurut Mohd Shahar, dengan tindakan itu, jelaslah Kementerian Belia dan Sukan tidak dapat memperjuangkan pemerkasaan sukan E-Sport.

“Peruntukkan tersebut telah diletakkan di bawah MDEC iaitu bawah selian Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Justeru sejauh mana KBS mampu mengurus dan memastikan aspirasi anak muda dalam bidang E-Sport dapat direalisasikan ?

“Adakah Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) tidak percaya dengan YB Muar?,” katanya ketika berbahas Bajet 2019 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau turut menyentuh mengenai kenyataan Menteri KBS yang juga Ahli Parlimen PPBM Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung kajian semula berhubung kedudukan jurulatih asing terutama dalam Program Podium.

“Apakah status terkini jurulatih asing yang terlibat dalam Program Podium yang telah menunjukkan prestasi cemerlang terutamanya dalam Sukan Berbasikal Trek?

“Saya juga berharap agar YB Menteri bertindak lebih bijak dan jangan terlalu ikutkan perasaan dengan membuat kenyataan yang boleh menyinggung perasaan dan mengganggu konsentrasi atlit dan jurulatih kerana kenyataan itu dibuat beberapa hari sebelum Kejohanan Sukan Asia bermula,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan National Football Development Program (NFDP) masih menjadikan sebagai program utama dalam pembangunan bola sepak negara ataupun sudah beralih kepada program yang lain.

“Antara perkara yang dirisaukan termasuklah status Lim Teong Kim, Pengarah Akademi Bola Sepak Negara dibawah NFDP. Apakah status terkini beliau dan apakah perancangan terkini Kementerian untuk memperkasakan NFDP.

“Rugi buat kita jika kehilangan seseorang seperti Lim Teong Kim yang mempunyai pendedahan dan pengalaman bertaraf antarabangsa yang mampu membantu pembangunan bola sepak negara kita,” katanya.