FundMyHome – Adakah Kementerian Kewangan Dibawah Pengaruh ‘Towkay’?

Berita Nasional

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri berazam tidak akan berdiam diri dan terus bersuara mempersoalkan skim perumahan yang baharu diumumkan oleh Pakatan Harapan iaitu FundMyHome kerana mencetuskan kegusaran dan tanda tanya.

Katanya jika skim yang mencurigakan ini gagal dikaji semula dari pelbagai aspek khususnya dari aspek manfaat kepada rakyat pada akhirnya akan menjadikan pembeli sebagai mangsa dan teraniaya.

“Jika tidak dikaji secara menyeluruh, ditadbir urus dan dilaksanakan dengan baik, ini juga akan berlaku di Malaysia. Hendakkah kita perkara sama berlaku di Malaysia?

“Saya tidak akan berdiam diri jika ia melibatkan masa depan negara dan rakyat. Jangan sesiapa berani aniaya dan memangsakan rakyat. Saya Najib Razak akan lawan,” katanya menerusi hantaran di facebook.

Katanya lagi, kegusaran yang sana disuarakan oleh Datuk A Kadir Jasin mengenai skim ini, bukti ianya logik untuk dipertikaikan.

Jelasnya, bukan sahaja ia menimbul keraguan setelah ia dilihat telah dirancang awal sebelum Pembentangan Belanjawan 2019 malah Menteri Kewangan Lim Guan Eng, tambahnya ianya dilihat dipengaruhi oleh ahli perniagaan sehingga pada akhirnya cenderung memberi manfaat kepada pemaju berbanding rakyat.

“Bajet ini bajet untuk rakyat atau bajet untuk swasta? Kenapa skim ini memihak kepada keuntungan swasta dihebohkan dalam Bajet?

“Adakah Kementerian Kewangan kini berada di bawah pengaruh Ahli Perniagaan atau “Towkay” tertentu?

Kalau nak kata hanya saya seorang yang melahirkan kegusaran mengenai skim ini, tak juga.

“Penasihat Kerajaan PH, Kadir Jasin sendiri kata apa yang berlaku beberapa hari ini mendedahkan kerajaan kepada dakwaan amalan kronisme,” ujarnya.

Kadir mendedahkan tidak sepenuhnya yakin dengan skim pemilikan rumah baharu yang diumumkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019 yang dilihat mendedahkan kepada amalan kronisme.

Namun menurut Najib, Pakatan Harapan tidak melihat kekhuatiran terhadap FundMyHome pelbagai pihak termasuk pakar hartanah ini sebagai keutamaan. Masalah ini lebih besar daripada penjagaan imej kroni!

“Jika kita lihat kepada tajuk-tajuk berita yang keluar selepas skim ini diumumkan, ada ramai lain yang juga khuatir, apatah lagi bila diumumkan bahawa GLC dan KWSP juga boleh melabur dalam skim ini.

“Malah ada pakar hartanah yang turut bimbang skim ini akan mengakibatkan krisis sub-prime yang seterusnya meranapkan ekonomi negara.Saya bimbang kerana sama ada Menteri Kewangan tidak sedar dan tidak meneliti kesemua risiko ini sebelum bersetuju dengan cadangan pihak swasta,” tambahnya.

Sebelum ini taikun perniagaan Datuk Tong Kooi Ong berkata syarikatnya EdgeProp Sdn Bhd membentangkan cadangan skim FundMyHome kepada Putrajaya supaya ia boleh boleh dimasukkan ke dalam Belanjawan.