Bon Samurai, Tun M Sendiri Tak Pasti Nak Buat Apa..

Artikel Pilihan Berita

Tawaran jaminan penerbitan bon Samurai oleh kerajaan Jepun tidak jelas untuk apa dan ia terbukti menerusi kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri, demikian kata Pemerhati Politik Ab Jalil Backer.

Ujarnya, kenyataan Mahathir kepada wartawan berhubung perkara ini masih tidak memberikan jawapan tepat tentang kegunaan bon itu sama ada ianya untuk melangsaikan hutang, melaksanakan pembangunan atau kegunaan mengurus.

“Rupanya bukan kita sahaja tidak pasti, Tun Mahathir pun macam tidak pasti. Ini jawapannya kepada pemberita:

“Jika kita dapat tukar daripada faedah tinggi dengan yang rendah kita akan dapat kurangkan beban negara untuk membayar balik pinjaman. Bon itu boleh diguna untuk apa-apa projek yang kita ada,”

“Jadi kita masih tersangkut di tahap pertanyaan bon samurai ini akan digunakan untuk apa?

“Adakah ia untuk bayar hutang, laksanakan projek pembangunan atau kegunaan pengurusan?,” katanya di Facebook.

Malaysia menyuarakan hasrat untuk mendapatkan pinjaman yen sewaktu pertemuan pertama Dr Mahathir dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, Jun lalu dalam usaha menangani hutang kerajaan.

Tun M baru-baru ini berkata, terdapat dua jenis pinjaman oleh Jepun termasuk bon Samurai yang akan diberikan oleh institusi perbankan negara itu.

Kerajaan Jepun menawarkan jaminan penerbitan bon Samurai sehingga 200 bilion yen (RM7.4 bilion) pada tempoh 10 tahun.

Penerbitan bon dalam denominasi yen itu, akan dijamin oleh Japan Bank of International Cooperation pada kadar kupon indikatif 0.65 peratus dan dijangka diterbitkan sebelum Mac tahun depan.

-SuaraTv