Bajet 2019 : Ada Aku Hairan – Ahmad Maslan

Berita Nasional

Tiada apa yang menggemparkan di dalam Bajet 2019 yang dibentangkan awal bulan lalu oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, tegas ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Sebelum ini saya pernah sebut ada aku kisah apa yang korang cakap. Hari ini saya nak sebut ada aku hairan dengan Bajet 2019.

“Tiada yang menghairankan, tiada yang menggemparkan, tiada yang wow, tiada yang terlalu hebat kerana Bantuan Sara Hidup turun, saham turun, Ringgit turun, sawit turun, getah turun, pertumbuhan turun, peruntukan kementerian banyak turun.

“Defisit fiskal naik, dividen Petronas naik, import naik, cukai SST naik, harga barang naik, hutang isi rumah naik, tekanan darah pun naik.

“Bak kata seloka pendek: Hujan turun banjir kilat, BN diturun apa yang dapat. Hujan turun banjir kilat, ekonomi turun itulah hakikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2019) di Dewan Rakyat, Khamis.

Di dalam perbahasannya itu, Ahmad turut mempertikaikan mengenai peruntukan kepada Kementerian Industri Utama yang dipotong hampir 50 peratus daripada RM938 juta kepada RM507 juta.

Malah tegas beliau, peruntukan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga telah dipotong RM700 juta daripada RM5.1 bilion turun kepada RM4.4 bilion.

“Adakah nasib penoreh getah dan pekebun sawit tidak penting? Mentang-mentang di Bagan dan Seputeh tiada kebun getah dan kelapa sawit maka peruntukan dipotong begitu banyak.

“Adakah nasib penternak, pesawah, nelayan dan peladang tidak penting? Mentang-mentang mereka orang kampung tidak duduk mewah di bandar raya, mereka dipinggirkan. Maka benarlah kata YB (ahli Parlimen) Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) satu masa dahulu, yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana,” tegas Ahmad.

Selain itu, Ahmad di dalam perbahasannya turut menegaskan UMNO akan bersama dengan PAS berarak di jalanraya sekiranya kerajaan mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Tegas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, ICERD adalah satu bentuk penjajahan baru oleh pihak luar.

“Jangan dijolok sarang tebuan, jangan dikacau harimau yang diam, kelak akan disengat dan akan diterkam,” tegas beliau.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru memberi amaran keras akan turun ke jalan raya bersama rakyat sekiranya kerajaan mengiktiraf ICERD.