Air Percuma Di Selangor Bukan Lagi Untuk Semua Rumah.

Berita Nasional Selangor

SHAH ALAM – Sekarang ini kerajaan negeri Selangor memberikan 20 meter padu air percuma kepada seluruh isi rumah di negeri itu sejak 2008 tetapi mulai tahun hadapan ianya tidak akan berlaku lagi.

Bermula tahun hadapan Kerajaan Selangor hanya akan memberikan air percuma kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah penstrukturan semula program tersebut bagi memenuhi matlamat asal program untuk meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Justeru itu, katanya, mulai tahun depan, kadar 20 meter padu air percuma sebulan akan dinaikkan kepada 25 meter padu bagi golongan B40.

“Kerajaan negeri yakin golongan B40 ini akan mendapat lebih manfaat daripada penstrukturan semula air percuma nanti,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019 berjumlah RM2.56 bilion di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Jumaat.

Amirudin menambah, jumlah peruntukan kepada Program Air Percuma selepas penstrukturan dilakukan pada tahun 2019 adalah sebanyak RM80 juta dan ini membolehkan kerajaan negeri membuat penjimatan sebanyak RM105.2 juta.

Menurutnya, penjimatan ini akan dapat dikembalikan kepada rakyat melalui program pembangunan dan program mensejahterakan rakyat.