Ahmoi! Sejak Bila Mohon Bantuan JKM Kena Dapat Sokongan Wakil Rakyat?

Berita Nasional

KUALA LUMPUR – Wakil-wakil rakyat Barisan Nasional hairan dengan kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh semalam mengenai pemohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak perlu mendapatkan sokongan wakil rakyat seperti sebelum ini.

Sambil menyangkal kenyataan tersebut, wakil-wakil rakyat BN itu berkata, amalan meminta sokongan wakil rakyat tidak berlaku semasa pemerintahan kerajaan sebelum ini sebagaimana dakwaan Hannah.

Datuk Noraini Ahmad

Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata, sepanjang beliau menjadi wakil rakyat di Johor, tidak pernah dalam pengetahuannya yang rakyat memerlukan tandatangan wakil rakyat untuk memohon bantuan JKM.

“Sepanjang saya menjadi wakil rakyat di Johor, tak pernah pula saya tahu yang perlukan tandatangan untuk memohon bantuan JKM. Yang layak akan dapat. Tiada pengaruh politik,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Manakala Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Sentul, Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin juga senada dengan Noraini.

Katanya, selama tiga penggal menjadi wakil rakyat amalan seumpama itu tidak timbul, oleh itu Hannah sebagai timbalan menteri tidak sepatutnya membuat kenyataan yang mengelirukan.

“Tak pernah pulak selama 3 penggal jadi wakil rakyat ni tahu yang selama ni permohonan bantuan JKM kena sokongan wakil rakyat?

“Kita tolong rujuk kes ada lah. Lepas tu pegawai JKM akan siasat dan bantu sekiranya layak. Please lah amoi, jangan buat statement mengelirukan,” katanya.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa juga terpanggil mengulas kenyataan timbalan menteri itu di laman Twitter.

“Sejak bila perlu sokongan wakil rakyat YB??…Selama ini pemohon bebas minta sokongan siapa saja…… Yb jauh ketinggalan,” katanya.

Seorang netizen yang mengulas di bebenang ciapan tersebut berkata, prosedur sebenar adalah pemohon akan menghantar permohonan kepada JKM dan agensi berkenaan akan merujuk permohonan tersebut kepada DUN yang akan memanjangkan dokumen tersebut kepada JKKK.

Selepas itu JKM akan ke rumah pemohon untuk sesi temuduga dan membincangkan permohonan tersebut dalam mesyuarat sebelum meluluskannya.

Semalam, Hannah berkata, terdapat rintihan dan aduan pemohon yang memberitahu proses mendapatkan sokongan itu menyukarkan urusan permohonan bantuan.

“Sekarang pemohon tidak perlu cari anggota Parlimen atau anggota Dewan Undangan Negeri untuk menyokong permohonan mereka (tandatangan di ruang saksi). Kita terima aduan ada wakil rakyat yang tidak mahu menandatangani borang permohonan sekiranya pemohon bukan ‘penyokong’ mereka.

“Jadi semua kolum sebegini telah dikeluarkan daripada borang permohonan supaya proses lebih senang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Borang permohonan bantuan JKM turut dikurangkan daripada sembilan kepada tiga muka surat sahaja bagi menyenangkan pemohon selain mengurangkan kerenah birokrasi.

Yeoh berkata tempoh kelulusan untuk kes ‘clear cut’ juga telah dikurangkan kepada seminggu berbanding dua bulan sebelum ini.

Dalam pada itu, Yeoh berkata permohonan bantuan juga boleh dilakukan dalam talian iaitu melalui http://spbk.jkm.gov.my dengan memuat naik dokumen berkaitan dan seterusnya menyemak status permohonan.

– MalaysiaGazette