Perpaduan Melayu Jaminan Kemakmuran Negara Dan Bangsa – Annuar Musa

Artikel Pilihan

Perpaduan orang Melayu menjamin keutuhan masyarakat berbilang kaum selain menjamin kedudukan bukan Melayu di negara ini, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Penerangan UMNO itu berkata, tanpa perpaduan orang Melayu, kaum dan bangsa lain di negara ini tidak berupaya untuk menikmati keamanan dan kestabilan politik.

“Sejarah pembinaan negara bangsa kita ini ialah berpaksikan kepada penyatuan orang-orang Melayu. Kalau orang Melayu mula tidak bersatu, kaum lain tidak akan ada tempat dalam negara ini. Kita kekal berpecah belah dan berada di bawah penjajahan,” katanya pada sidang media, di Bilik Melaka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar baru-baru ini yang melahirkan kebimbangan terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu dan tidak akan membiarkan krisis perebutan kuasa antara pemimpin terus berlaku menyebabkan orang Melayu berpecah-belah dan lemah.

Katanya, penyatuan Melayu menjadi perkara pokok kepada kesejateraan negara dan jika suasana itu tidak dikekang, pembangunan negara akan terhenti dan sukar bergerak ke hadapan.

“Sekarang ini berlaku kuat berpecah adalah orang Melayu. UMNO berpecah kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pas pula berpecah, segala orang Melayu berpecah. Jadi ke mana kita.

“Kalau ada kesedaran untuk memikirkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kesatuan ini, itu mesti dan seharusnya sentiasa dialu-alukan,” katanya.

Annuar turut mengingatkan pemimpin parti politik pembangkang agar tidak menggunakan kaedah ‘matlamat menghalalkan cara’ sebaliknya mengutamakan kesejateraan rakyat dan kemakmuran negara dalam agenda mereka.

“Kita ini walaupun ada pelbagai platform, pelbagai parti, kita yang penting kena tengok matlamat, cara mungkin berbeza-beza, kita tak boleh menghalalkan semua cara semata-mata kita ada matlamat tertentu.

“Kita nak dua-duanya betul, tapi matlamat itu yang lebih penting bukan soal cara sahaja. Matlamat kita dalam soal berpolitik ini ialah kita nak menjaga kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Terdahulu Annuar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia bagi persiapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 dan persediaan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

– Watan-Online