Dah Tak Dapat Tunai Janji, Mintalah Maaf!

Artikel Pilihan

Bekas aktivis pelajar, Adam Adli Abd Halim menempelak kerajaan PH yang dilihat terlalu ‘kebal’ sehingga tiada seorang menteri dikalangan mereka membuat permohonan maaf berhubung pembayaran balik Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut Adam, setelah kerajaan PH memutuskan peminjam dikenakan membayar balik pinjaman pada gaji RM1,000 sebulan, tiada seorang menteri pun yang membuat permohonan maaf kepada rakyat khususnya kepada para pelajar.

“Tak akan sekelumit kata maaf pun susah nak ditutur dek gagal memenuhi apa yang dijanjikan sendiri?

“Terlalu tinggikah duduknya hari ini sampai tiada rendah diri lagi dalam perkataan? Bahaya bapak menteri. Bahaya,” tulis Adam Adli dilaman Facebook miliknya.

Tambahnya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik harus bertindak sewajarnya dengan memohon maaf kerana PH tidak menepati janji dalam manifesto PH yang ingin menghapuskan pembayaran PTPTN.

Jumaat lalu, Adam menggesa kerajaan menyemak semula Bajet 2019 kerana nilai RM1,000 terlalu kecil ketika ini.

Menerusi pembentangan bajet itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan peminjam berpendapatan lebih RM1,000 sebulan perlu membayar balik pinjaman dengan cara potongan gaji antara 2 hingga 15 peratus.

Sebelum ini, Maszlee berkata, kementeriannya akan memberi tumpuan untuk merealisasikan janji penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000.

Beliau berkata, ini kerana, isu berkaitan PTPTN merupakan 10 janji dalam 100 hari pentadbiran PH.